Juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid Baharuddin, 41, baru-baru ini melangsungkan pernikahannya dengan wanita pilihan, Nurul Shuhada Osman, 26, Ahad lalu.
Pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin sebanyak RM2,000 dengan sekali lafaz bertempat di Masjid Terapung Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
“Saya mengenali isteri saya kira-kira tiga tahun lepas ketika membuat persembahan busking.
“Bermula daripada situ, kami mula mengenal hati budi masing-masing dan membuat keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya,” terang Zahid tentang perkenalannya bersama isteri tercinta.
Penyanyi kelahiran Perak itu juga menyatakan, lebih istimewa lagi tarikh pernikahan pada 19 Disember itu turut jatuh pada hari kelahirannya.
“Keputusan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua ini bukan perkara yang mudah dan beberapa kali saya bertanya kepada suri hati saya tentang keputusan yang dibuat.
“Saya bersyukur dia sedia menerima saya seadanya, tetapi ketika menjelang hari pernikahan kami terdapat pelbagai dugaan yang perlu kami hadapi ekoran daripada musim pandemik yang sedang melanda negara ini.
“Kami juga tidak mempunyai niat untuk menyembunyikan perkahwinan ini kerana saya sangat bersimpati dengan mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir,” ulasnya lagi.
Terdahulu, dia pernah mendirikan rumah tangga bersama Sarah Julifa Yusof dan bercerai pada 18 Julai 2019.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki Zareef Nufael yang kini berusia tujuh tahun. – BOOM!