Niat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hanya mahu membantu insan yang kurang bernasib baik dengan kemampuan dimiliki ketika awal penubuhan Yayasan Nurjiwa sekitar 17 tahun lalu.
Namun, siapa sangka perlahan demi perlahan orang ramai, termasuk golongan selebriti mula meletakkan kepercayaan terhadap badan kebajikan itu dan turut sama menghulurkan sumbangan.
Mengakui teruja maklum balas positif diterimanya, Siti yang juga Pengasas dan Pengerusi bersama Yayasan Nurjiwa, berkata sokongan diberikan menjadi pembakar semangat yayasan untuk terus menyalurkan sumbangan menerusi kegiatan amal dianjurkan.
“Yayasan Nirjiwa sudah ditubuhkan sekitar 17 tahun lalu, sama usia perkahwinan saya dan suami. Usaha mencari dana dibuat secara perlahan-lahan.
“Bagaimanapun, yayasan ini mula mendapat kepercayaan pelbagai pihak, termasuk golongan selebriti dan pengasas produk untuk menderma sejak dua tahun lalu.
“Situasi ini berlaku selepas melihat kesungguhan kami memanfaatkan pelbagai kegiatan amal, termasuk menganjurkan konsert demi mencari dana,” katanya.
Bagi mengelakkan berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari, selain merekodkan semua sumbangan diterima, Siti juga menunjukkan ke mana wang sumbangan disalurkan dalam media sosial miliknya.
“Bila bercakap soal menguruskan wang derma orang ramai, ia bukanlah satu perkara mudah. Saya akui besar tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul.
“Justeru, tujuan saya berkongsi aktiviti kebajikan dilakukan dalam media sosial bukan mahu menunjuk-nunjuk. Saya perlu tunjuk sebagai bukti supaya tidak ada sebarang pertikaian pada kemudian hari.
“Saya bersyukur ada pihak luar seperti Kitafund berminat membantu yayasan mencari dana dan pelbagai barangan keperluan harian.
“Usaha dilakukan yayasan adalah kami mencari sendiri mereka yang susah, namun tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan kebajikan.
“Kami ada kakitangan yang akan mencari golongan kurang tidak bernasib baik dan termasuk dalam kategori miskin bandar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan di Bamboo Hills, di ibu negara, baru-baru ini.
Kempen Infaq Ramadan itu adalah salah satu kesinambungan program yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa iaitu Kempen Jihad dan Kempen Tabung Sedekah Subuh.
Melalui kempen dijalankan, yayasan mensasarkan lima misi bantuan yang akan dilaksanakan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin.
Selepas tertubuhnya Sekolah Afwa & Afiyah di Gaza pada 5 Oktober 2021 yang memberi fokus kepada pendidikan peringkat awal dalam bidang al-Quran dan akademik termasuk mengenai akhlak dan adab, pemenang trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 itu memaklumkan yayasan bakal menubuhkan sebuah lagi sekolah tahfiz di Kedah.
“Sebelum ini, yayasan hanya membantu sekolah tahfiz yang sudah wujud dan insya-Allah, kami akan wujudkan sekolah tahfiz sendiri di bawah yayasan.
“Jika tiada aral, projek pecah tanah akan dilakukan dalam tahun ini. Buat masa ini, masih belum ada nama lagi untuk sekolah terbabit,” ujar Siti.
Sementara itu, sempena kedatangan Ramadan yang mulia, Yayasan Nurjiwa turut mengatur beberapa program khusus seperti bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid.
Bantuan kotak makanan dinamakan Bantuan Nur-Muhamad ini memberikan keutamaan kepada golongan susah yang dikenal pasti oleh pihak yayasan. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN