Band rock popular Indonesia, NOAH memukau hampir 5500 penonton Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Walaupun sudah melabuhkan tirainya, konsert yang berlangsung di Mega Star Arena KL @ Sg. Wang Plaza itu masih terngiang-ngiang di telinga dan segar di ingatan.
Semangat luar biasa peminat boleh dilihat apabila, seawal jam 6 petang dewan konsert sudah dipenuhi dengan ‘lautan merah’ yang sudah tidak sabar menanti kemunculan NOAH.
Bermula jam 8 malam, NOAH yang dianggotai Ariel (vokalis), Lukman (gitaris) dan juga David (pemain keyboard) memulakan persembahan dengan lagu Topeng, di mana Ariel muncul di tengah-tengah pentas mini berkuasa hidrolik dari bawah dengan sorakan penuh gegak-gempita memecah keheningan setiap penjuru konsert.
Kemudian, lagu-lagu hits mereka seperti Separuh Aku, Menemaniku, Menunggumu, Tak Bisakah, Bintang Di Syurga dan lain-lain turut dipersembahkan dengan hampir 24 buah lagu kesemuanya.
Terdahulu, momen sayu menyelubungi apabila NOAH mengumumkan mahu berehat panjang untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan.
Bagaimanapun persembahan mesti diteruskan. Sorakan tanpa henti peminat termasuk bernyanyi bersama NOAH seakan melupakan kisah sedih yang diumumkan sebelum itu.
Ariel pula bijak mengendalikan audiens dengan gurauan-gurauan mesranya.
“Untuk konsert kali ini, aku request untuk buat di tempat yang lebih besar kerana yang dulu kelihatan kecil dan sempit.
“Tapi, lihat saja malam ini. Kenapa aku rasa tempat yang ku kira sudah besar ini masih kelihatan kecil ya?”, gurau Ariel disambut tawa peminat.
Konsert pada malam itu juga turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa Joe Flizzow ketika menyampaikan lagu ‘Suara Dalam Kepala’.
Secara keseluruhannya, Noah telah berjaya memukau selautan merah peminat yang hadir dengan energi luar biasa mereka. Ariel sendiri turut meluahkan rasa puas hati dengan keseluruhan perjalanan konsert mereka pada malam itu.
Selamat berehat NOAH! – BOOM!