Sebut saja nama Iqram Dinzly, tak keterlaluan dikatakan hampir seluruh penduduk Malaya mengenalinya. Masakan tidak, aksi-aksi dilakukan dan dipampangkan di media sosial kerap mengundang kecaman warganet.
Baru-baru ini ketika bertemu dengannya, Iqram memberi isyarat bahawa dia sedang dalam perancangan untuk menggemparkan platform media sosial dengan ragam seterusnya.
“Nantikan viral berikutnya dan pastinya ia sesuatu yang mengejutkan anda semua di awal tahun baharu ini,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 41, tidak pernah lekang dari bibir warganet yang memperkatakan tentang personaliti serta tingkah pelik dan aneh ditunjukkan menerusi entri akaun Instagram miliknya.
Tidak kurang juga ada pendapat mengatakan Iqram seorang yang dahagakan perhatian, malah sanggup menelan perit kecaman dilemparkan khalayak terhadapnya.
Bahkan di aplikasi Bigo Live, pelakon drama bersiri popular Dunia Baru berkenaan pernah ditegur seorang individu supaya mengingati Allah serta kembali ke pangkal jalan.
Memberikan responsnya, cucu kepada tokoh pemimpin Perak tersebut tampil dengan solekan celak menakutkan, di samping mengeluarkan kenyataan tidak wajar seolah-olah mengaku dirinya Tuhan dan meminta agar disembah. – BOOM!