Video jaguh silat negara, Jufferi Jamari yang menampakkannya tercedera ketika menentang pesilat Indonesia nyata membuatkan penyokong Malaysia panik seketika.
Pun begitu, laporan media rasmi yang membuat liputan sempena penganjuran Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam memaklumkan kecederaan dialami atlet negara berkenaan tidak serius.
Namun di sebalik perlawanan Jufferi yang tewas di tangan Iqbal Candra Pratama itu, tular satu klip di laman sosial menyaksikan detik pemuda berusia 30 tahun tersebut sedang menahan sakit.
Jelas kelihatan, wajahnya kekerutan dek kecederaan di bahu kanan di ketika itu, akan tetapi atas nama perjuangan, dia tetap meneruskan perlawanan hingga ke penghujung, malah tidak memberi laluan mudah kepada Iqbal menang.
Justeru, video hasil muat naik pemilik akaun TikTok bernama @kismiskur_kur yang dilatari lagu keramat Standing In The Eyes nyanyian Ella secara tidak langsung membuatkan ramai penonton sebak.
Ini kerana, semangat tinggi ditunjukkan jaguh handalan dunia terbabit begitu kental tatkala berhadapan musuh biarpun cedera.
Dia dilihat berjuang habis-habisan, bahkan hampir memenangi perlawanan sengit tersebut, namun di saat-saat terakhir yang hanya berbaki enam saat, satu kesilapannya telah meranapkan impian merangkul pingat emas.
“Terharu tengok aksi dia. Tengah sakit macam tu, tetap teruskan demi nama Malaysia.” – @chefibaidullah
“Ini memang real fighter. Selalu boleh nampak dalam filem je…” – @danielirfan
“Kenapa aku nangis tengok video dia berlawan ni? Lagu Ella ni betul-betul menusuk.” – @queinqu
Peminat mendoakan agar pesilat serta atlet-atlet yang sedang berjuang di Hanoi terus bersemangat serta dapat melakukan yang terbaik buat negara Malaysia yang tercinta. – BOOM!