Sebut sahaja nama Ira Kazar, pastinya tidak perlu diperkenalkan sementelah menjadi bahan bualan terhangat, lebih-lebih lagi sejak sah bergelar isteri kedua Syamsul Yusof.
Selain dilabel sebagai ‘penyondol’ kerana didakwa ‘merampas’ suami Puteri Sarah, anak perempuan kepada dramatis Kazar Saisi berusia 28 tahun itu juga merupakan selebriti media sosial.
Pun begitu, sebenarnya ramai tidak perasan penglibatan empunya nama Faghirah Fatini Kazaruddin tersebut yang mengikut jejak langkah bapanya dalam dunia lakonan.
Ini kerana, heboh di ruangan maya apabila warganet memperkatakan tentang kelibat Ira yang dilihat membintangi drama Perang Dingin siaran stesen televisyen swasta.
Lebih menarik, penampilannya bukan sekadar watak tempelan, bahkan diberi peranan pelakon pembantu di samping dua teraju utama iaitu Ain Edruce dan Azizul Ammar.
Di platform media sosial, klip sedutan drama berkenaan mula memenuhi garis masa setelah dimuat naik oleh warganet yang bagaikan tidak percaya melihat Ira sebagai pelakon.
“Tengah syok layan drama ni, tiba-tiba eh, Ira Kazar?” memetik kapsyen disertakan bersama video Perang Dingin.
Tambah mengujakan, bukan sahaja kemunculan Ira hangat disembangkan, malahan bapanya, Kazar Saisi yang turut berlakon sebabak di sisi anaknya itu memanaskan lagi kehangatan.
Majoriti warganet tidak menyangka Ira pernah berlakon, bahkan memegang peranan besar dalam drama terbabit.
Bahkan ada dalam kalangan netizen mengatakan, itulah kali pertama mereka mendengar suara Ira, dan julung kali juga melihat saiz tubuhnya yang genit. – BOOM!