Sekolah anak kepada Datuk Aaron Aziz antara sembilan yang diancam bom pada petang semalam (Selasa).
Aaron menerusi sebuah hantaran di Instagram berkata, dia bergegas ke sekolah anaknya di Setia Alam selepas mendapat panggilan daripada cikgu.
Bagaimanapun reaksi tenang Aaron mendapat pujian netizen.
Malah, pelakon tersebut sempat meninggalkan pesanan kepada mereka yang terlibat dengan situasi sebegini supaya tidak panik.
Katanya, sikap panik hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk dan boleh mencetus huru-hara.
“Tapi bagaimanapun bila berhadapan dengan situasi begini, kekal tenang, jangan jadi kancheong (cemas), ikut arahan.
“Kita tak boleh panik, macam mana mereka (sekolah) nak kawal keadaan yang selamat untuk semua termasuk keluarga, pelajar dan cikgu,” katanya.
Menerusi kapsyen dalam hantaran tersebut juga, aktor berusia 47 tahun itu sempat memberi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas dalam berdepan situasi berkenaan.
“Terbaik tindakan PDRM cepat dan profesional dalam kecemasan, kalau boleh jangan panik.
“Setakat ini sekolah Dahlia masih tidak menerima email susulan tetapi sekolah telah ambil langkah awal. Saya suka reaksi yang pantas dari sekolah ini.
“Kekal tenang dan ikut protokol. Kalau satu huru-hara, lain akan ikut. Ingat orang lain pun ada anak anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan terdapat beberapa buah sekolah antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima ancaman bom.
Terdapat tujuh sekolah antarabangsa di Selangor di daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Subang Jaya, dan Kuala Langat terima ancaman itu.
Difahamkan, ancaman bom tersebut diterima organisasi sekolah antarabangsa melalui e-mel tanpa nama antara pukul 9.30 pagi dan 10.15 pagi Selasa lepas. – BOOM!