Penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow, 43, mempersoalkan kerelevanan konsep anugerah dan pertandingan nyanyian Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dianggap hanya membuatkan industri muzik menjadi mundur.
Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak mendakwa AJL yang wujud sejak tahun 80-an adalah sebuah pertandingan yang dicipta oleh pihak stesen televisyen bagi mengalahkan rating pertandingan nyanyian lain, Bintang RTM yang popular pada waktu itu.
Oleh itu, Joe merasakan konsep pertandingan daripada tahun 80-an sudah tidak lagi relevan untuk diteruskan penganjurannya sehingga ke hari ini.
“Analoginya seperti saya minta kamu pergi ke satu galeri. Saya minta kamu senaraikan rating lukisan mana yang paling bagus. Bagaimana kamu tentukan?
“Mereka ada cara untuk mengadili lagu dan memilih pemenang yang saya sendiri tak tahu bagaimana. Walaupun ketika saya menang AJL, saya pun tak tahu mengapa saya menang.
“Bagi kebanyakan orang, AJL adalah world cup tapi bagi saya ia hanyalah hari Ahad yang biasa.
“Saya tak pernah faham konsep pertandingan ini. Selepas 30 tahun, adakah ia masih relevan?” soalnya di majlis sidang media konsert Joe Flizzow, This Is Johan Live In Concert, semalam.
Bukan itu sahaja, penyanyi Satu Malam Di Temasik itu juga mempertikaikan kaedah pemarkahan dan kreadibiliti juri yang dilantik.
“AJL mengumpulkan banyak penyanyi dan para juri akan mengadili mereka. Sebenarnya, siapa kita untuk mengatakan penyanyi itu lebih baik daripada penyanyi yang lain?
“Ada juri yang tidak pernah mempunyai satu pun lagu hit sepanjang karier mereka. Jadi apa hak mereka untuk cakap seseorang artis itu lebih baik?” tambahnya lagi.
Jika AJL diteruskan bagi memberikan anugerah kepada bakat pemuzik dan komposer tanah air, Joe berpendapat sudah masanya Malaysia mempunyai satu anugerah yang benar-benar signifikan, relevan dan tidak membuat industri semakin ke belakang. – BOOM!