Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat beraksi di pentas suku akhir Mega Spontan, pada malam ini.
Ia disebabkan Jalaluddin terpaksa ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor sejak Rabu lalu akibat jangkitan kuman pada saluran kencing.
Menurut Jalaluddin dia sudah mula berasa sakit sejak seminggu lalu, namun tidak menyangka ia akan menjadi serius.
“Sebenarnya rasa sakit ni sejak minggu lalu dan bila rasa sakit di bahagian pinggang, saya terus dapatkan rawatan daripada anak saudara saya, seorang doktor.
“Bila dah makan ubat saya rasa macam dah okay, jadi saya teruskan kerja-kerja saya macam biasa termasuklah Mega Spontan.
“Sebelum itu anak saudara saya sudah minta saya ke hospital untuk rawatan lanjut, tetapi saya yang tolak dan rasa sihat sahaja.
“Silap saya sebab tidak memandang sakit ini secara serius sampai kena masuk hospital,” katanya.
Berkongsi keadaan terkininya, Jalaluddin memberitahu dia semakin sihat tetapi perlu
menjalani beberapa prosedur rawatan lanjut.
Bagaimanapun, dia berasa sedih kerana tidak dapat menyertai rakan-rakan lain dalam program Mega Spontan yang akan bersiaran pada malam ini (Jumaat).
“Keadaan saya sekarang baik-baik sahaja dan sedang mengambil ubat antibiotik. Doktor juga akan membuat pemeriksaan untuk lihat keadaan anggota badan saya yang lain sama ada turut terkesan atau tidak.
“Saya amat sedih juga kerana tidak dapat bersama dengan kawan-kawan yang lain dalam Mega Spontan. Saya sudah maklumkan kepada pihak Astro dan mereka juga faham dengan situasi saya.
“Buat masa ini, doktor menyarankan untuk saya berehat dahulu di hospital untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya. – BOOM!