Sharnaaz Ahmad menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.
Perkara tersebut dikongsi Sharnaaz menerusi rakaman video yang dimuatnaik di Instagramnya pada pagi Jumaat.
Dalam video tersebut, Sharnaaz mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya yang telah mengendalikan kes tersebut dengan baik.
Sharnaaz turut mengucapkan rasa syukur dan berjanji tidak akan melakukan perkara sedemikian lagi.
“Insha-Allah gais, Mamu tak buat hal lagi,” kata Sharnaaz pada penghujung video.
Dalam perbicaraan hari ini, Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.
“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah berpuas hati dan dengan ini memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan (DNA) manakala wang jaminan dikembalikan,” kata Majistret Atiqah.
Terdahulu peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima jawapan melalui surat balas berhubung representasi yang mana pihak pendakwaan ingin menarik balik kes.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal kemudian mengesahkan pihak pendakwaan mendapat arahan daripada pihak atasan supaya Sharnaaz hanya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Mendengar perkara itu, Wan Azmir tetap dengan pendirian memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan memandangkan pihak pengadu sendiri telah menarik balik kes.
“Pengadu telah membuat laporan polis menarik balik kes, saya pohon satu keputusan lepas dan bebas diberikan kepada Sharnaaz,” kata peguam itu.
Mengikut pertuduhan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Berikutan itu pendakwaan terhadap pelakon ‘Suamiku Encik Sotong’ itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BOOM!