Kemelut rumah tangga antara pelakon Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof masih belum bernoktah apabila Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas memutuskan supaya Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39 dan Sarah atau nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, melantik wakil masing-masing dalam JKP.
Pada 16 Januari lalu, Sarah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu dilaporkan berkata tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Sarah menegaskan keputusan memfailkan perceraian adalah muktamad dan tidak akan menarik balik hasratnya walau apapun yang berlaku.
Suami isteri terbabit mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah, masing-masing berusia lima dan tiga tahun. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN