Pelakon dan penyanyi Diana Danielle hanya mahukan keputusan berpihak kepada kebenaran berhubung tuntutan nusyuz yang difailkan suami, aktor Farid Kamil terhadapnya pada 6 April lalu.
“Harapan saya, semoga semuanya berpihak kepada kebenaran,” katanya selaku defendan.
Tambah Diana lagi, dia juga berharap kebenaran akan terbukti sepanjang perjalanan kes tersebut.
Diana berkata demikian ketika hadir bagi sebutan nusyuz kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Khamis.
Farid selaku plaintif bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah kerana dijangkiti virus Covid-19 seperti yang dimaklumkan dalam Instagramnya.
Terdahulu, pada 30 Mei lalu, peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu pihaknya telah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Diana berikutan aktor tidak dibenarkan pulang ke rumah kelamin dan dakwaan tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Sebelum ini, pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu sebaliknya berkata, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh prosiding hakam kerabat bagi pasangan terbabit.
Mahkamah juga memutuskan laporan JKP pasangan tersebut menemui jalan buntu susulan berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan, sementara Farid kekal enggan melafazkan talak kerana percaya rumah tangganya masih boleh diselamatkan.
Pada 28 Mac lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shukran Yusof, menasihatkan Farid dan Diana berdamai bagi mengislahkan atau memperbaiki keadaan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai. – BOOM!
Sumber: KOSMO! ONLINE