Isteri kepada Suhaimi Saad, Ina Naim berkata tugas dan tanggungjawab Allahyarham sebagai ketua keluarga mengenalkan anak-anak kepada Allah dan agama Islam sudah selesai.
Ina atau Nordiana Mohd Naim memberitahu, arwah suaminya itu juga sempat meluahkan rasa syukur kerana dapat memberi ilmu agama yang sepatutnya kepada anak-anak sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Pada masa sama, Nordiana atau mesra disapa Ina juga bersyukur kerana urusan pengebumian suaminya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan. Ikutkan perancangan pengebumian arwah dijalankan pada pukul 10 pagi, tapi dalam pukul 9 pagi semuanya selesai.
“Allah mudahkan daripada hembus nafas terakhir sampai pagi hari ini Alhamdulillah.
“Bila kami bersembang enam beranak, arwah akan pesan kepada anak-anak, abang jaga ibu ayah, ibu jaga anak-anak.
“Tanggungjawab beliau sebagai ayah sudah selesai…Kenalkan kepada Allah, al-Quran, hadis kena pegang kuat-kuat.
“Itu antara yang arwah pesan semasa dia dalam keadaan sakit. Kami juga saling meminta maaf minta halal makan minum,” katanya.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, buat masa ini dia menghabiskan tempoh iddah di rumah ibu bapanya di Felcra Sungai Ara.
Katanya dia juga masih belum memikirkan perancangan untuk masa hadapan dan akan fokus kepada tempoh iddah selesai terlebih dahulu.
“Saya akan habiskan iddah di rumah orang tua, selepas itu saya fikirkan apa rancangan untuk keluarga seterusnya tapi saya percaya Allah akan mudahkan urusan saya dan anak-anak, ” katanya. – BOOM!
Sumber: KOSMO! ONLINE