Peluang diberikan stesen TV3 menyertai program terbaharu, Terpaling Juara yang melabuhkan tirainya baru-baru ini disifatkan Hazami Kamal umpama bulan jatuh ke riba selepas berdepan keperitan hidup buat seketika.
Bersyukur atas rezeki tidak diduga, Hazami atau nama penuhnya Norkamal Hazami Ahmad, 47, terharu dan menganggapnya saat terbaik untuk kembali menonjolkan diri selepas 22 tahun mengukir nama sebagai penyanyi.
“Saya tahu pasti ada yang menganggap tak habis-habis muka Hazami, namun di sebaliknya, orang tak tahu bagaimana saya bersyukur menerima tawaran ini.
“Anda ingat senang ke nak berentap dengan dua penyanyi berpengalaman seperti Ifa Raziah dan Rahmad Mega. Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah,” jelasnya.
Popular menerusi lagu Sonata Musim Salju, dia akui sangat menghargai setiap momen pembabitannya dalam program realiti berkenaan selepas terkesan dengan pandemik kira-kira dua tahun lalu.
“Jujurnya, saya sudah dua setengah tahun tiada ‘job’. Dilanda Covid-19, ia benar-benar memberikan kesan besar terhadap hidup saya.
“Saya tiada duit nak makan, malah, rumah juga tidak berbayar sewa selama empat bulan. Duit dalam bank hanya tinggal RM200, itulah yang berlaku pada awal tahun lalu.
“Namun saya jenis senyap dan tidak bercerita. Saya diamkan sahaja sehinggalah ke saat ini,” katanya.
Malah, kata Hazami, kesusahan hidup membuatkannya terfikir mahu menjual piano kesayangannya.
Bagaimanapun, pemilik suara lunak itu bernasib baik kerana ada ahli keluarga, rakan artis mahupun penggiat seni tampil menghulurkan bantuan.
Terdahulu, pentas akhir Terpaling Juara yang berlangsung pada Ahad lalu menyaksikan Rahmad Mega merangkul gelaran juara, Aqmal Ramdan di tempat kedua, Hazami di posisi ketiga dan Shaz Shaharum menghuni tangga keempat. – BOOM!