Gara-gara membawakan watak antagonis di dalam drama terbaharu, Menanti Senja, pelakon, Kodi Rasheed mendedahkan telah menerima kecaman dan kata-kata hinaan daripada penonton.
Bagaimanapun, Kodi atau nama sebenarnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed akui tidak berasa hati sebaliknya menganggap wataknya itu telah berjaya menyentuh jiwa penonton.
“Disebabkan drama ini, saya ada menerima emoji kepala khinzir dana kata-kata makian di ruangan mesej Instagram.
“Nak balas semula, rasa tak elok pula. Namun, saya anggap watak ini berjaya memberikan impak kepada penonton.
“Saya harapkan penonton dapat mengambil pengajaran daripada watak ini,” katanya kepada MH.
Kodi yang membawakan watak Zaki itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan Menanti Senja episod 12 yang berlangsung di Restoran The Ko.Pi, Sentul pada Selasa.
Dalam pada itu, pelakon filem Ophilia ini akui agak sukar untuk menerima watak-watak lain apabila namanya sudang sinonim dengan watak antagonis.
“Saya sudah berada dalam industri ini hampir 10 tahun dan kebanyakkannya watak antagonis. Saya akui memang agak risau.
“Bila sudah kerap sangat bawa watak jahat, nanti produser akan bagi watak itu sahaja. Mungkin watak antagonis saya berjaya sebelum ini. Namun, saya tak nak buat perkara yang sama,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Kodi memaklumkan dirinya kini akan lebih selektif sebelum menerima sebarang tawaran.
“Ketika ini, kalau saya dapat tawaran watak antagonis secara berderet, saya hanya akan pilih satu sahaja. Agak susah untuk bawakan watak jahat secara back to back.
“Saya sanggup tolak tawaran kerana saya percaya kepada rezeki. Allah sudah susun yang terbaik buat saya. Saya lebih menjaga kualiti berbanding kuantiti.
“Memang itu niat saya dari awal menyertai dunia seni. Nak jaga kualiti itu sangat susah,” kongsinya lagi.
Katanya lagi, dia juga akan bereksperimen untuk mempelbagaikan watak jahat agar nampak lebih versatil.
“Saya belum tepu lagi sebab banyak watak jahat belum saya teroka. Kebanyakkan watak-watak saya, peranannya lebih kurang sahaja.
“Jadi, saya akan memberikan pandangan kepada pengarah untuk mempelbagaikan watak jahat itu. Saya akan cuba agar watak itu tak nampak sama.
“Saya nak watak yang lebih realistik. Orang jahat ini buat setiap masa jahat. Ada juga sisi baiknya. Jadi, saya mahu sisi yang lebih realistik,” akhirinya.
Terdahulu, drama Menanti Senja kini sedang ditayangkan di slot Samarinda, TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.
Selain Kodi, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Trisha Ooi, Johan As’ari, Faizal Hussein dan Khatijah Tan. – BOOM!
Sumber: MEDIA HIBURAN