Sebut sahaja nama Doraemon, pastinya bukan hanya kanak-kanak mengenalinya, malah orang dewasa juga tidak terkecuali.
Ternyata penangan watak manga popular keluaran Jepun karya Fujiko F. Fujio merupakan antara animasi ikonik yang masih relevan dari dulu hingga kini.
Bahkan gelagat Doraemon, si kucing robot ajaib bersama kawan baiknya, Nobita menyebabkan ramai yang terpaku di hadapan televisyen.
Sempena ulang tahun ke-50 karakter berkenaan, pihak produksi telah menghasilkan sekuel kepada filem Stand By Me Doraemon yang ditayangkan pada 2014 iaitu Stand By Me Doraemon 2.
Istimewa buat peminat di Malaysia, Astro First (saluran 480) membawakan filem tersebut terus ke pawagam rumah penonton bermula 4 November ini.
Stand By Me telah pun ditayangkan di negara asalnya dan berjaya menjadi filem kedua tertinggi mengaut kutipan pecah panggung pada minggu pembukaannya, di samping tersenarai dalam 10 karya paling tinggi di Jepun bagi 2020.
Filem arahan dua pengarah animasi ternama negara matahari terbit itu iaitu Takashi Yamazaki (Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik di Japanese Academy Awards pada 2006) dan Ryuichi Yagi tersebut mendapat banyak komen positif di media sosial terutama plot penceritaannya yang menyentuh perasaan.
Yamazaki terkenal dengan arahan filem animasi terbaik, antaranya Parasyte dan Space Battleship Yamato.
Jika kebiasaannya animasi dihasilkan dalam bentuk 2D, tetapi Stand By Me Doraemon 2 diilhamkan secara grafik komputer 3D dan jalan ceritanya diadaptasi daripada filem pendek, Doraemon: A Grandmother’s Recollections (2004). – BOOM!