Tindakan penyanyi Nubhan Ahamad ‘menjual’ ibunya yang dikenali sebagi Omak Jenny sebagai konten di media sosial telah mengundang pelbagai persepsi umum. Menepis dakwaan berkenaan, Nubhan menjelaskan bahawa keputusan mengetengahkan Omak Jenny adalah atas permintaan pengikutnya sendiri sejak kemunculan pertama kali wanita itu hampir setahun lalu.
“Kemunculan awal Omak Jenny adalah menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Instagram. Gayanya bukan sahaja lucu dan bersahaja, malah tampak jujur menjadikan perwatakan Omak Jenny mudah disenangi ramai, sekali gus membuatkan pengikut saya terhibur.” jelas Nubhan.
Sedang popular menerusi lagu duet bersama Siti Nordiana berjudul “Sekali Lagi”, Nubhan juga mengakui dia mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan produk berupa pes sambal jenama Omak Jenny.
“Mulanya pes sambal ini sekadar cuba-cuba sahaja tetapi tak sangka pula ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pes ini dibuat sendiri oleh mak saya di rumah kami dengan dibantu oleh pekerja yang terdiri daripada saudara-mara.” ujar Nubhan lagi.
Bagaimanapun, Nubhan mengakui proses penghasilannya sedikit perlahan dan stok produk tersebut agak terhad sepanjang tempoh PKP ini. Nubhan memohon maaf dan berharap pelanggan yang memesannya dapat bersabar.
Selain itu, Nubhan yang juga pengusaha kosmetik bersyukur kerana pengeluaran produk jenama Lantara Beauty semakin meningkat saban hari.
“Biarpun ramai pengusaha perniagaan lain terjejas, Alhamdulillah hasil jualan produk keluaran saya amat memberangsangkan,” kongsinya kepada Boom!.