Peguam syarie mewakili pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Azmi Mohd Rais akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan anak guamnya sudah melafazkan talak terhadap isterinya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana sebanyak dua kali.
Kata Azmi, pihaknya belum mendapat kesahihan dakwaan dan perlu berbincang dengan anak guamnya terlebih dahulu.
“Kami akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
“Saya belum lagi berbincang dengan Syamsul mengenai perkara ini dan akan mendapatkan kepastian daripada Syamsul,” katanya.
Azmi yang ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini juga enggan mengulas lanjut berikutan ia masih lagi dalam siasatan.
Terdahulu, media melaporkan Puteri Sarah didakwa pernah diceraikan dua kali oleh Syamsul.
Menurut laporan, ada sumber mengatakan kedua-dua lafaz talak itu pernah direkodkan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor.
Namun, difahamkan Syamsul tidak hadir ke mahkamah.
Kes perceraian Syamsul dan Puteri Sarah masih berjalan di Mahkamah Syariah dan gagal diselesaikan selepas pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu enggan menceraikan Puteri Sarah pada 18 April lalu.
Pergolakan rumah tangga mereka bermula selepas kehadiran pihak ketiga iaitu Ira Kazar juga anak kepada pelakon veteran Kazar sebelum Syamsul mengakui sudah bernikah dengan wanita itu pada awal Januari lalu di Thailand.
Sementara itu, Azmi memaklumkan kes sebutan semula nusyuz pasangan tersebut akan berjalan pada 8 Mei, manakala kes perceraian pula pada 25 Mei ini.
“Pada 8 Mei itu adalah untuk Puteri Sarah memasukkan pembelaan dan tengok akan ada penyelesaian atau tidak.
“Kemudiannya, untuk kes perceraian akan disebut semula pada 25 Mei, jam 3 petang,” katanya. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN