Seorang lelaki dikenali sebagai Adieysalleh akui berhutang nyawa dengan permata hati negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang telah menyelamatkan nyawa anaknya yang menderita jantung berlubang.
Menurut Adiey, ketika dia buntu mencari sumber kewangan untuk menyelesaikan kos rawatan anaknya, Siti datang menghulurkan bantuan.
“Kami sekeluarga berhutang nyawa dan budi dengan Siti. Sehabis hayat akan aku kenang bersyukur.
“Aku doakan Siti Nurhaliza terus diberkati Allah,” katanya.
Imbas kembali apa sebenarnya yang berlaku Adiey berkata kejadian tersebut terjadi pada tahun 2012 ketika anaknya perlu menjalani pembedahan jantung berlubang.
@sitism_era♬ Menjaga Cintamu – Original Soundtrack From Anwar, The Untold Story – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
“Kisah di IJN pada 20 Jun 2012, anak aku nak kena operation jantung, aku dalam bilik taksiran dengan isteri. Tiada pilihan, nak keluarkan duit EPF.
“Tiba-tiba team Simply Siti datang, terus tawarkan bantuan kewangan, kos pembedahan. Berderai air mata jantan aku,” katanya mengenang kembali budi ditabur Siti.
Lelaki tersebut turut meyakinkan pengguna laman sosial TikTok bahawa kisah tersebut benar-benar terjadi.
“Demi Allah perkara ini benar…Terima kasih Siti, aku kenang sepanjang hayat aku, hanya Allah mampu membalasnya.
“Anak aku pun dah tak ada. Hanya tiga bulan dia sempat bersama kami selepas pembedahan. Sempatlah berlari dan beraya bersama,” katanya.
Di media sosial, pengakuan Adiey telah menjadi tular dan rata-rata memuji Siti kerana bermurah hati demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. – BOOM!