Sebelum ini, penyanyi lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi telah pun mengeluarkan sebuah bantal zikir yang diberi nama Baby Pian.
Terbaharu, Sufian berkolaborasi dengan rakan baiknya, bintang popular, Haqiem Rusli bagi menawarkan kelainan terhadap produk keluaran syarikatnya itu.
“Penghasilan bantal zikir ini pada awalnya diilhamkan untuk anak angkat saya.
“Di samping fungsi asal kegunaannya untuk tidur, pada masa sama, ia turut mempunyai alunan muzik zikir tatkala meletakkan kepala di atasnya,” jelas Sufian.
Mengulas kerjasamanya dengan Haqiem, Sufian berkata, artis remaja itu telah menyumbangkan vokalnya mengalunkan zikir yang dimuatkan dalam pengeluaran produk bantal berkenaan.
“Secara tak langsung, produk baharu ini menonjolkan lagi sisi Islamik Haqiem.
“Tambahan pula, Haqiem dikenali antara penyanyi menjaga tatasusilanya sebagai umat Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sufian melihat kerjaya seninya berada di landasan terbaik setelah memulakan langkah menceburi bidang lakonan.
Pembabitannya menerusi siri Kampung Kolestrol di sisi dua penyanyi ternama negara, Ziana Zain dan Mas Idayu memberi peluang kepadanya meneroka lebih jauh bakat seni yang dimiliki.
“Bukannya saya tak pernah berlakon, tetapi ini adalah pengalaman pertama saya membintangi drama.
“Boleh dikatakan, melalui proses penggambaran merupakan momen terbaik untuk belajar tentang macam-macam perkara,” kongsi Sufian mengutarakan pandangan positifnya.