Ahli kumpulan K-Clique, Noki mengakui dia sudah jarang berkongsi gambar tidak berbaju di laman sosial miliknya.
Menurut Noki atau nama sebenar Ahmad Ikhwan Aji, 28, ia disebabkan otot fizikalnya kian mengecut kerana tidak berkesempatan bersenam di gimnasium dek kesibukan kerja.
“Sekarang sudah lama tak ‘belanja’ (tayang badan) sebab sudah lama tidak ke gim.
“Saya pula baru pindah rumah, jadi bila dua minggu tak bersenam, tiada semangat nak mulakan semula,” katanya.
Penyanyi asal Sabah itu juga mengakui banyak menerima kiriman mesej lucah gara-gara tindakannya yang gemar memuat naik gambar bertelanjang dada.
Ironinya, kebanyakan kiriman mesej yang diterima datangnya daripada lelaki peminat kaum sejenis.
“Memang banyak mesej lucah yang masuk tetapi majoritinya dihantar oleh lelaki.
“Saya sudah jangkakan perkara ini dan tak boleh salahkan sesiapa. Silap saya juga sebab selalu sangat ‘belanja’ badan.
“Mungkin mereka ingat bila saya dah ‘belanja’ tubuh untuk tatapan umum, agaknya bolehlah kacau,” ulasnya.
Pun begitu, Noki menjelaskan dia tidak melenting dan marah individu terbabit, sebaliknya bersikap lebih tenang dengan memadam saja kiriman tersebut.
Noki berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran single Pantang nyanyian Bil Musa yang turut menampilkan dirinya sebagai penyanyi rap di Petaling Jaya awal minggu ini. – BOOM!