Selepas perjalanannya di pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) berakhir malam tadi, Datuk Fazley Yaakob mengumumkan dia bakal mengadakan showcase Yang Sedang-Sedang Saja.
Dia berkata, persembahan khas itu akan diadakan di restoran miliknya, Suka Sucre Bistro bagi menghargai sokongan peminat sepanjang empat minggu bersaing di pentas GV8.
Menerusi segmen terakhir, Ada Lagu Ada Lagi, Fazley diumumkan tersingkir apabila mendapat markah terendah iaitu 50 peratus hasil penilaian empat juri termasuk panel undangan.
“Saya akan terus menyanyi dan untuk permulaan, saya akan adakan showcase seperti yang dijanjikan kepada peminat.
“Butiran selanjutnya saya akan kongsikan kemudian. Yang pasti, anda akan menonton saya menyanyi sambil memasak demi memenuhi permintaan banyak pihak,” katanya.
Mengulas mengenai penyingkirannya, penyanyi yang mendapat gelaran Abang Asmara berkenaan akui, GV adalah pentas yang berat baginya.
“Saya ni penyanyi studio, bukannya penyanyi pentas seperti peserta lain. Saya sangat kerdil berbanding mereka.
“Walaupun saya buat yang terbaik, mereka yang lain pastinya lebih baik daripada saya. Malah ketika sesi latihan pun terlalu besar perbezaannya,” ulas Fazley yang berbangga atas pencapaiannya mara hingga minggu keempat.
Akuinya, GV ialah satu-satunya pertandingan nyanyian yang disertai sepanjang bergelar penyanyi dan menganggap cabaran bertanding menyanyi adalah suatu pengalaman baharu.
Pengalamannya di GV membuatkan beliau akur dan mengikur baju di badan sendiri. Lantaran GV ialah pertandingan yang pertama dan terakhir buatnya.
Sementara itu, menyentuh dirinya yang tenang berhadapan kecaman warganet, Fazley anggap situasi itu ibarat alah bisa tegal biasa.
“Saya yakin semua maklum, dugaan yang saya hadapi sebelum ini lebih dahsyat. Justeru, kritikan netizen hanyalah hal kecil bagi saya,” terangnya.
Menjawab tentang calon pilihan untuk menjuarai GV8, Fazley memilih tiga nama iaitu Adibah Noor, Aliff Aziz dan Nikki Palikat.
“Bagi saya, mereka bertiga ada peluang cerah dan layak menang. Siapa-siapa pun boleh,” katanya.
Menerusi konsert minggu keempat, Adibah muncul juara dengan markah 78.1 peratus, manakala Aliff jatuh ke tangga keenam selepas mempamerkan aksi konsisten tiga minggu berturut-turut. – BOOM!