Penyanyi terkenal berasal dari Kanada, Shawn Mendes akui, dia melalui masa yang sukar sejak berpisah dengan Camila Cabello.
Walaupun Mendes atau Shawn Peter Raul Mendes, 23, tidak aktif di media sosial, dia tetap merasai para peminat memberikan sokongan terhadap single baharunya yang bertajuk It’ll Be Okay.
Mendes telah memuat naik video pendek di Instagram miliknya dengan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya.
“Saya merakam klip ini kerana ingin menghargai semua pihak yang menyokong single It’ll Be Okay.
“Diakui, saya melalui waktu sukar dengan laman sosial buat masa kini, namun ramai pengikut mengirim mesej kepada saya untuk memaklumkan hal semasa,” kata penyanyi yang terkenal dengan hitnya, Never Be Alone.
Terdahulu, dia pernah menjalin cinta bersama rakan duetnya, Camila Cabello, 24, namun hubungan tersebut berakhir selepas dua tahun bercinta.
Biarpun hatinya sedang berkecamuk, jejaka tersebut masih mengecap rasa gembira dan syukur kerana ramai pendengar menyukai lagu baharunya.
“Saya mahu menunjukkan kasih sayang dan penghargaan, jumpa nanti. Saya dapat lihat betapa banyak sokongan terhadap lagu ini,” ujarnya. – BOOM!