Pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung sepotong video yang dimuat naik sebelum ini yang dikatakan seolah-olah menyindir golongan B40.
Ryzal ketika ditemui malam tadi berkata, tujuan dia berkongsi video tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada B40 dengan memaparkan realiti kehidupan sebenar golongan berkenaan.
Namun, Ryzal tidak menyangka niat baiknya berkongsi video tersebut telah disalah anggap oleh kebanyakkan netizen.
“Sebenarnya video itu menceritakan realiti apa yang berlaku dalam hidup kita sekarang. Saya lihat konten saya bukan satu hinaan.
“Video itu sebenarnya beri kesedaran untuk golongan B40 berjimat, tetapi disalah ertikan. Kalau tahu tiada duit, kenapa perlu berbelanja banyak sehingga berhutang?
“Mungkin golongan macam ini (B40) sangat sensitif dengan sindiran. Sepatutnya saya beri kesedaran itu kenalah berterima kasih.
Ryzal berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) yang diadakan di stesen KTM, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang cahaya itu menjelaskan kecaman yang diterima sesekali tidak memberi kesan kepada dirinya.
Malah, Ryzal menegaskan dia tidak akan tampil membuat permohon maaf kerana yakin dirinya tidak bersalah.
Kecaman yang diterima masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya tak rasa itu satu kesan kepada saya. Mungkin mereka tidak faham maksud sebenar disebalik video tersebut, mereka tidak memahami isi tersirat.
Namun ada juga yang mesej saya dan beritahu mereka minta maaf kerana tidak faham maksud sebenar pada awalnya. Tetapi lebih jelas selepas tonton video penjelasan.
Mereka perlu sedar perbelanjaan mereka lebih dari pendapatan. Saya tidak akan minta maaf kerana saya tidak salah.
Selain itu, Ryzal atau lengkapnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim berkata dirinya akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan sebarang konten untuk disajikan kepada pengikut di laman sosialnya kelak.
“Semasa post video tersebut, saya cuma mahu kongsikan rutni kehidupan saya. Namun jika saya post begitu, nampak pula macam saya menunjuk-nunjuk. Tetapi saya tidak menggambarkan itu kerana ramai yang ingin hidup senang tetapi tidak.
“Saya fikir video itu bagus untuk gurauan dan sindiran tetapi ia menjadi satu isu yang besar. Cuma konten sebegitu saya akan lebih berhati-hati akan datang.
“Saya pun tidak takut jika kehilangan pengikut kerana rezeki datang dari Allah. Saya tidak pernah takut jika jatuh atau pengikut lari,” terangnya memberi penjelasan.
Terdahulu, Ryzal menerima pelbagai kritikan selepas memuat naik sepotong video seolah-olah menyindir golongan B40. Rata-rata netizen merasakan pempengaruh itu seakan memerli golongan berpendapatan rendah.
Dalam perkembangan terkini, Ryzal bersama isteri, Maryam turut tercalon dalam ABPBH35 menerusi kategori Content Creator Popular. – BOOM!