Demi mencari reda Ilahi, Datin Lisa Surihani, 37, sanggup mengetepikan rasa malu terhadap mutu bacaan al-Quran dengan menerima lamaran muncul dalam program Jom Khatam, selepas beberapa kali ditolak.
Akui Lisa, hampir saban tahun dia diundang menyerikan program itu, namun ditolak kerana menganggap bacaan al-Qurannya masih ‘merangkak’.
Bagaimanapun, pelakon dan pengacara popular ini berharap kemunculannya pada program itu Ramadan kali ini dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada penonton.
“Tidak tahu kenapa, tetapi kali ini hati saya terbuka untuk terima dengan ilham yang saya anggap pengalaman ‘shooting’ macam hadir kelas mengaji bersama qari.
“Saya harap usaha kecil ini diterima dan mendapat reda Allah. Hubungan saya bersama al-Quran masih banyak perlu ditambah baik.
“Saya harap dengan cara ini dapat buka pintu untuk mendapat reda Allah dan menjadikan kitab suci itu sebagai sahabat baik,” katanya yang tampil dalam salah satu episod program terbitan Astro Oasis berkenaan membacakan surah al-Baqarah dan Ali Imran.
Lisa yang ditemui pada sidang media Salam Ramadan Masa Anugerah Terindah anjuran Astro di Petaling Jaya, baru-baru ini, mengakui bukan mudah kekal istiqamah selepas berhijrah.
“Sudah lumrah dan menjadi fitrah manusia mempunyai hati berbolak-balik. Namun, saya tidak pernah anggap penghijrahan sebagai beban.
“Bagi saya perlu ada rasa susah supaya kita lebih menghargai. Apabila lalui sesuatu yang sulit kita lebih mengingati Allah, berbanding apabila mencapainya dengan mudah.
“Saat iman berada di bawah, sentiasalah ingatkan diri. Insya-Allah dengan izin Allah, kita akan buat sesuatu untuk perbaiki diri dengan meningkatkan keimanan,” katanya.
Isteri komposer dan pengarah popular, Datuk Yusry Abdul Halim ini tampil berhijab kira-kira lima tahun lalu selepas pulang menunaikan umrah. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN