Puteri Sarah dilihat tidak berdiam diri selepas Syamsul Yusof menyatakan mahu menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebanyak RM10 juta malam tadi.
Memberi respons terhadap kenyataan suaminya itu di IG Story, Sarah mencabar agar Syamsul berterus-terang bagi mengelak sebarang salah faham.
“Benda macam ini tiba-tiba muncul, nak saman kenapa?
Benda baik itu patut umumkan sebelum menimbulkan fitnah dan prasangka buruk daripada keluarga sendiri,” katanya.
Puteri Sarah mengiringi maklum balasnya itu dengan melampirkan artikel kenyataan Syamsul diterbitkan sebuah portal hiburan.
Terdahulu pengarah Mat Kilau berkenaan memberitahu akan mengemukakan saman terhadap agensi terbabit selepas didakwa mendedahkan maklumat peribadi dirinya yang dianggap fitnah.
Syamsul mendakwa, JAWI telah menyebar kenyataan tidak benar, fitnah dan palsu kepada keluarganya bahawa dia sudah berkahwin lagi.
Sarah membuat andaian bahawa dakwaan suaminya sudah mengahwini Ira Kazar diperkatakan itu adalah benar berdasarkan tindak balas ditunjukkan Syamsul.
“Jadi betullah gosip tu. Mengaku sahajalah. Sudah tiba masa berterus-terang tentang segalanya,” jelasnya. – BOOM!