Penyanyi terkemuka Indonesia, Judika, memukau 12,000 penonton di Axiata Arena dalam Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang.
Lebih menggamatkan suasana apabila Judika, atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi menunaikan janjinya untuk menyanyikan lagu Melayu dengan menyampaikan tiga buah lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Malaysia iaitu Sejati, Buih Jadi Permaidani dan Cindai.
Menurut Judika, ketiga-tiga lagu itu cukup dekat di hatinya dan dia mahu sesuatu yang baharu untuk dipersembahkan kepada peminatnya.
Selain Judika, Rockmantic Night Judika And The Gang turut dimeriahkan dengan kehadiran Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah sebagai penyanyi jemputan untuk konsert tersebut.
Tiga bakat baharu dari Indonesia Dnanda, Daniel Pattinama dan Axin Zay turut melengkapi konsert sebagai penyanyi undangan.
Judika turut membawa keluarga besarnya dari Indonesia termasuk isteri, anak-anak, ibu bapa dan ibu bapa mentua bersama-sama menyaksikan persembahan istimewanya pada malam itu.
Selain digegarkan dengan sorakan para peminat, konsert tersebut turut dihiasi dengan gurauan-gurauan nakal daripada Judika.
“Aku mahu nyanyi sehingga jam 2 pagi, kamu semua sudah siap mahu nyanyi dengan aku?”, guraunya kepada peminat.
Sangat bijak berinteraksi dengan peminat, Judika juga tidak lokek untuk berkongsi kisah hidupnya yang menjadi inspirasi buatnya dalam menghasilkan lagu.
“Kalau kamu mahu tahu, lagu ini mengisahkan tentang usaha aku selama 6 tahun dalam mendapatkan restu daripada ibu bapa mentuaku sebelum menikah dengan isteriku.
“Aku tidak putus asa, buktinya yang melarang aku ketika itu ada bersamaku menyaksikan konsert ini bersama-sama.
Jadinya, buat teman-teman yang masih berjuang, jangan pernah putus usahanya,” katanya sebelum menyanyikan lagu Mama Papa Larang.
Selain itu, Judika turut membuatkan peminat menyanyi dan menari bersama apabila menyanyikan beberapa buah lagu miliknya dengan susunan muzik baharu yang lebih segar.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu menyaksikan Judika menyanyikan lebih 20 buah lagu antaranya Jadi Aku Sebentar Saja, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja, Bukan Dia Tapi Aku, Sampai Akhir, Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang boleh dianggap sangat luar biasa dan berjaya membuai peminat dengan lagu-lagu galau yang disampaikan oleh Judika. Peminat tidak henti-henti menyanyi bersama sepanjang konsert berlangsung.
Pujian wajar diberikan kepada Judika dan juga pemuzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik Indonesia, Tohpati. Terbaik Judika! – BOOM!