Pelakon Remy Ishak mengesahkan isterinya Ezza Yusof kini hamil lima bulan.
Pengakuan tersebut dibuat Remy kepada Kosmo! pada Sabtu.
Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, perasaan bakal bergelar bapa dalam tempoh beberapa bulan lagi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan satu pengalaman yang luar biasa.
“Bukan sebab saya tak nak dedahkan atau apa. Sebelum ini waktu ditanya, kandungan masih lagi di peringkat awal.
“Doktor pun beri nasihat supaya tidak digembar-gemburkan dahulu. Jadi, memang tak boleh nak cakap (kongsi) dahulu,” katanya.
Terdahulu, nama Remy tiba-tiba menjadi bahan bualan apabila ada netizen mendakwa ternampak ‘baby bump’ dalam sebuah video milik isterinya.
Ezza, 39, menjadi tumpuan selepas ada yang mendakwa terdapat perubahan bahagian perut dalam satu sebuah videonya sedang memperagakan sepasang kasut jenama miliknya.
Meskipun tiada sebarang pengesahan daripada Ezza yang juga seorang usahawan, terdapat netizen sudah mula mengucapkan tahniah kepada isteri pelakon filem Sangkar itu. – BOOM!
Sumber: Kosmo!