Usahawan sensasi, Nur Sajat menerusi sebuah video baru-baru ini mengakui telah memaafkan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berkata demikian bagi mengulas pengalaman hitamnya berurusan dengan agensi berkenaan.
Sajat yang kini hidup dalam pelarian bercerita, dia pernah ditahan JAIS atas kesalahan berpakaian wanita ketika hadir ke sebuah pusat tahfiz untuk bersedekah.
“Disebabkan penampilan yang sebegitu, saya dikatakan telah mencemarkan nama baik Islam.
“Pegawai JAIS menakut-nakutkan saya. Mereka kata saya akan dihukum penjara selama tiga tahun,” kongsinya.
Sambil mengimbas kejadian yang terjadi beberapa tahun lalu, transgender popular berkenaan mengakui peristiwa tersebut menyebabkannya trauma hingga kini.
Bagaimanapun, Sajat dalam siaran langsungnya menjelaskan, dia sudah memaafkan kakitangan JAIS yang terlibat dalam penahanannya dulu.
“Kepada pegawai JAIS, saya maafkan. Orang luar yang fikir bukan-bukan termasuk tuduh saya punca Covid-19 datang,” dedahnya.
Bukan setakat itu sahaja, Sajat juga pening memikirkan sikap segelintir warganet yang asyik mencari kesalahan dan suka menghukum tanpa usul periksa.
Ini kerana bagi Sajat, biarlah Allah menghukum segala kesalahan yang dilakukannya selama ini.
“Tuhan saja yang berhak menjatuhkan hukum. Kalau kamu asyik kutuk dan hina saya macam ini, saya jadi makin sedih.
“Saya tak pernah ajar anak-anak perkara bukan-bukan, malah didik mereka dirikan solat. Alhamdulillah mereka semua pun dah pandai mengaji.
“Hal yang terjadi buat saya terkilan. Sedangkan saya ini baik orangnya, suka buat kelakar, hiburkan orang dan beri nasihat,” celotehnya berseloroh. – BOOM!