Pelawak yang dicungkil bakatnya dari pentas Sinaran Pasport Kegemilangan, Pian telah disahkan meninggal dunia pada petang Rabu.
Mengikut rekod kesihatannya, Pian atau nama penuhnya Mohammad Rafik Abdul Rahman, 52, menghidapi penyakit tekanan jantung yang serius dan dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan pada 2018.
Difahamkan, Pian menghembuskan nafas terakhir di rumah ibunya yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, Allahyarham terjatuh ketika berada di dalam bilik air dan ditemui ibunya, namun sudah tidak bernafas.
Bagaimanapun belum ada maklumat tepat yang menjadi punca kematiannya.
Terdahulu, ketika menyertai program Sinaran terbitan TV3, arwah bergandingan dengan Yassin Yahya membentuk duo dinamakan Gla Gla.
Selaku finalis, dia kemudiannya diserap masuk ke dalam sitkom Cecupak bersama barisan peserta akhir yang lain terdiri daripada Ropie, Usop, Pak Jaih dan Allahyarham Pak Lah.
Allahyarham bercerai dengan bekas isteri pada 2000 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin. – BOOM!