Penyanyi rap, Noki atau nama penuhnya Ahmad Ikhwan Aji, 27, meluahkan rasa seronok kali pertama mencuba bidang lakonan.
Anggota kumpulan hip hop terkenal K-Clique itu berkongsi pengalamannya berlakon ketika melakukan siaran langsung di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
“Seronok sebab satu pengalaman baharu. Walaupun sedikit penat, tetapi saya suka sangat,” kongsinya teruja.
Pada masa sama, keletah Noki yang beramah mesra melayan pertanyaan peminat dan pengikutnya dengan bercakap slang Kuala Lumpur (KL) turut menarik perhatian segelintir penonton.
Ada dalam kalangan penonton yang melayangkan komen agar Noki teruskan sahaja bercakap menggunakan loghat negeri kelahirannya iaitu Sabah.
“Jangan cakap KL, pelik bunyinya,” komen seorang audiens yang menonton sesi rakaman langsungnya.
“Saya kena biasakan sebab penggambaran drama kebanyakannya semua cakap KL,” balas Noki menjawab komen peminat.
Dalam perkembangan lain, Noki bakal menghiasi skrin TV menerusi dua telefilem berjudul Oh My Hantaran dan Cincin Pusaka pada akhir tahun ini. – BOOM!