Jangka hayat seseorang pelakon bangsa asing dalam industri didominasi orang Melayu mungkin hanya sekejap sekiranya dia gagal menguasai bahasa Melayu.
Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan berkata, pelakon bangsa asing digalakkan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu agar ia boleh ditonjolkan sebagai suatu kelebihan.
“Saya sendiri tidak menjangka bahawa sudah lapan tahun saya berada dalam industri. Sejujurnya saya tidak percaya boleh pergi sejauh ini.
“Biasanya, orang bukan Melayu hanya bertahan sekejap sahaja dalam industri. Jadi nasihat saya kepada orang bukan Melayu, belajarlah menguasai bahasa Melayu sebaik-baiknya,” kongsinya.
Bagaimanapun, Elizabeth, 28, menjelaskan tiada tip untuk dikongsikan kerana dia juga masih mempunyai kelemahan untuk diperbaiki.
“Saya pun masih ada kesalahan sebutan, ada beberapa perkataan yang disebut agak pelat sampai ke hari ini.
“Tetapi setiap kali persembahan, saya akan cuba memberi yang terbaik,” katanya.
Elizabeth ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya iaitu Abang Long Fadil 3 di The Grounds KL, baru-baru ini.
Filem mendapat sentuhan Syafiq Yusof itu dijadual menjengah pawagam pada 8 September ini.
Selain Elizabeth, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu seperti Johan Raja Lawak, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Ozlynn Waty, Tania Hudson dan Shuib Sepahtu.