Penyanyi senior Datuk Nora Ariffin mengakui tidak sedarkan diri selama tiga hari berikutan kesilapan teknikal sehingga paru-parunya dipenuhi air ketika dimasukkan ke sebuah pusat perubatan bulan lalu.
Kata penyanyi berusia 50 tahun itu, dia dan keluarga enggan memanjangkan isu atas kecuaian pihak berkaitan, sebaliknya berpindah ke hospital swasta lain di Bangi.
“Oleh sebab terlebih drip, paru-paru saya dipenuhi air dan sukar bernafas. Waktu itu saya sudah reda jika ajal tiba kerana pandangan saya sudah putih dan dada seperti direntap kuat.
“Saya enggan memanjangkan kes atau ambil tindakan terhadap pusat perubatan berkenaan.
“Doktor pun manusia, ada buat silap. Waktu itu kita hanya fikir nak sihat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pes masakan Secukup Rasa by Nora, semalam.
November lalu Nora dilaporkan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari di bawah pantauan tiga orang pakar.
Jelas pelantun lagu Di Persimpangan Dilema, insiden berkenaan membuka matanya untuk lebih menghargai pengorbanan anak dan suaminya, Dr Rushdi Ramli, 55.
“Saya mengucap dan salam suami memohon maaf selain meminta tolong tengokkan anak-anak.
“Bila diberi peluang menghirup nafas buat kedua, saya nampak pengorbanan suami serta anak-anak.
“Suami saya mengajar jadi dia ambil tugas hantar anak ke sekolah dan siapkan baju mereka. Sebelum ini, semua itu saya uruskan sendiri,” katanya.
Nora yang pada awalnya mengalami demam panas menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari. – BOOM!
Sumber: KOSMO!