Sedang mencetus fenomena tersendiri di Indonesia, filem Patah Patah Sayap bakal memanaskan atmosfera industri perfileman Malaysia sementelah memulakan tayangan di pawagam tempatan pada 13 Oktober ini.
Namun di sebalik kerancakan warga jiran memperkatakan tentang filem mengisahkan perihal kepolisan negara seberang, rupa-rupanya pihak produksi berdepan pelbagai dugaan.
Penerbitnya, Denny Siregar menjelaskan, pembikinan naskhah tersebut pada awalnya agak sukar untuk mendapatkan keyakinan dan kelulusan kerajaan memandangkan ia memaparkan kelemahan sistem pertahanan pasukan polis di sana.
“Tak dinafikan, ada beberapa babak yang dipertontonkan boleh memalukan pihak polis Indonesia.
“Terutamanya adegan kemuncak yang menyaksikan sekumpulan tahanan pengganas berjaya bolos dan melarikan diri dari penjara.
“Keadaan itu ternyata menampakkan pihak berkuasa lemah sehingga tercetusnya rusuhan yang akhirnya mengorbankan banyak nyawa,” ujarnya.
Diarahkan oleh Rudi Soedjarwo, Denny juga mendakwa keselamatan aktor utamanya iaitu Nicholas Saputra serta pelakon lain juga terancam.
Ini kerana, waris-waris kepada polis mahupun pemberontak rata-ratanya menetap di pelusuk Tanah Jawa, apatah lagi insiden pertumpahan darah itu masih segar di ingatan sementelah terjadi pada 2018 di Mako Brimob, Depok.
“Malah tunjang filem ini, Nicholas ada menyatakan hasratnya untuk mengupah pengawal keselamatan peribadi.
“Meski dia tidak memaklumkan alasannya secara terperinci, saya yakin langkah itu diambilnya disebabkan ada ancaman daripada orang sekeliling,” jelasnya.
Tambah Denny, terdapat sebilagan besar penduduk di Kepulauan Jawa masih belum boleh menerima kenyataan terhadap fakta yang dipersembahkan menerusi Patah Patah Sayap yang kini mengutip RM40 juta di Indonesia sejak ditayangkan pada Ogos lalu. – BOOM!