Penyanyi Shila Amzah, 33, berkongsi berita duka tentang kehilangan nenda tercinta, Senah Md Som, 86, yang telah kembali ke rahmatullah semalam.
Menurut Shila, Allahyarham Senah yang juga mesra dengan sapaan Wan cukup peramah dan baik hati orangnya.
“Wan saya, nenek saya adalah yang paling baik hati, hatinya cukup murni.
“Dukacita dimaklumkan bahawa nenek saya kembali ke rahmatullah malam tadi. Saya mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat nenek saya.
“Semoga Allahyarhamah diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Shila berkata dia pasti akan merindui celoteh Allahyarham dan berasa sedih kerana tidak akan dapat lagi merasa air tangan neneknya pada Aidilfitri selepas ini.
“Wan, saya akan rindu Wan, saya sayang Wan. Saya kehilangan nenek saya, namun akan sentiasa ingat setiap kenangan kami bersama.
“Sunyi nak masak raya tahun ini. Sambal kentang Wan, sambal kacang,” katanya.
Kongsi Shila lagi, pada kali terakhir mereka berbual, neneknya sempat mengusik berkenaan jodoh.
“Kali terakhir kami berbual, dia sentiasa berjenaka termasuk tanya bila saya bawa balik teman lelaki. Kalau sudah suka, kahwin sajalah, buat apa buang masa, bawa balik jumpa Wan,” katanya. – BOOM!