Artis kelahiran Sarawak, Nana Sheme sah bergelar isteri kepada produser muzik, Zikri Zakaria setelah mereka diijabkabulkan pada petang tadi.
Nana atau nama penuhnya Nur Nabilah Hashimi, 27, dinikahkan oleh jurunikah berwakil wali bapanya, Hashimi Alwi.
Dalam upacara pernikahan di Daman Central Kuching itu, Zikri yang berasal dari Pulau Pinang menyerahkan dua dinar emas sebagai mas kahwin.
Menerusi siaran langsung dibuat di akaun Instagram milik penyanyi lagu Hantu Atau Buaya itu, kedua-duanya dilihat sedondon menggayakan busana tradisi berwarna putih.
Pada malam ini di lokasi yang sama, turut diadakan majlis resepsi, manakala kenduri menyambut menantu bagi pihak lelaki akan berlangsung di Sungai Petani, Kedah pada minggu hadapan. – BOOM!