Bintang Akademi Fantasia, Nubhan Ahamad selamat menyambut kelahiran anak ketiganya setelah isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek bersalin secara normal pada Rabu.
Pelantun lagu Juwita itu memaklumkan berita gembira tersebut kepada Boom! menerusi kiriman teks WhatsApp sambil berasa bangga kerana memecahkan rekod tradisi keluarganya.
“Alhamdulillah, isteri dan bayi berada dalam keadaan sihat dan stabil. Ini adalah anak perempuan kedua saya.
“Syukur saya dapat pecah rekod tradisi keluarga memandangkan adik-beradik saya yang lain cuma mempunyai seorang sahaja anak perempuan.
“Ada juga yang anak-anak mereka semuanya lelaki,” demikian kata Nubhan ketika dihubungi.
Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 36, juga menambah, bayi comel seberat 3.37 kilogram itu disahkan doktor sempurna sifatnya dan sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Katanya, isteri dan bayi sudah pun dibenarkan pulang dan kini mereka berada di Melaka untuk menjalani tempoh berpantang.
“Isteri saya bersalin di Hospital KPJ Senawang, Seremban. Cuma seharian sahaja dimasukkan ke wad sebelum discaj keseokan harinya.
“Berbanding pengalaman lalu, proses kelahiran kali ini lebih mudah kerana bayi keluar dengan senang.
“Sekarang ini baru tiga orang, ada dua lagi belum keluar. Insya-Allah,” selorohnya yang berhasrat untuk melengkapkan lima orang anak. – BOOM!