Pelakon yang namanya disebut-sebut sewaktu membintangi Andai Itu Takdirnya, Idzham Ismail meluahkan rasa syukur atas pujian diraihnya daripada penoton.
Idzham atau nama sebenarnya Muhammed Idzham Ismail, 35, mengakui, sebelum ini dia pernah hampir putus asa dan mahu berhenti daripada bidang lakonan.
“Dulu siap pernah terlintas di fikiran untuk reka cerita agar ada gosip yang boleh menaikkan nama saya.
“Ini kerana, sejak saya bertapak dalam bidang ini selepas terbabit dalam drama Juvana, penerbit dan pengarah hanya berikan watak pembantu sahaja.
“Ada juga yang berterus-terang cakap muka saya tak macam hero, baik jadi penyangak sahaja.
“Perkara-perkara macam inilah yang buatkan saya rasa hampir putus asa dan rasa nak berhenti terus,” kata Idzham ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharu lakonannya, Tujuh Dua Belas.
Pun begitu, penantiannya sekian lama berakhir sementelah diberi peluang untuk meneraju drama Andai Itu Takdirnya yang berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.
“Sekarang saya percaya bahawa masa terbaik itu akan tiba, cuma lambat atau cepat sahaja untuk kita memperoleh sesuatu rezeki itu.
“Ia berpunca apabila saya berikan kelainan sewaktu berlakon dalam drama tersebut serta naskhah sebelumnya iaitu Jangan Menangis Cinta.
“Dari situ barulah pihak produksi mula membuka mata terhadap bakat saya dan Alhamdulillah, tawaran yang dapat kini sudah beraneka,” katanya.
Tambah Idzham, sebelum menerima tawaran melakonkan kedua-dua watak ditawarkan kepadanya itu, dia pernah berjanji kepada diri sendiri untuk bersara seandainya tidak menjadi. – BOOM!