Perselisihan faham antara dua bintang remaja, Puteri Balqis dan Mia Sara baru-baru ini telah menarik perhatian ramai termasuklah pemilik rumah produksi Pencil Pictures, Datuk Ayu Puteh.
Berdoa kemelut dihadapi dua pelakon berbakat besar itu segera diselesaikan dengan baik, Ayu pada masa sama menyimpan hasrat untuk menyatukan kedua-duanya dalam satu naskhah.
“Dah lama saya rancang untuk membuka peluang kepada para pelakon cilik suatu ketika dahulu agar lebih menyerlah setelah mereka meningkat dewasa.
“Amat rugi industri kita jika dipersiakan bakat hebat yang dimiliki oleh Aqish (Balqis) dan Mia, malah mereka adalah pelapis masa depan dunia lakonan.
“Tak kiralah siapa betul atau siapa salah, apa kiranya saling merendah diri memohon kemaafan.
“Tak rugi pun jika minta maaf sebab masing-masing ada keluarga. Malu orang luar tengok,” nasihatnya.
Paling menarik, produser berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu mengumumkan, Pencil Pictures juga merancang untuk menawarkan Aqish dan Mia berlakon dalam karya terbitannya kelak.
“Skrip dan jalan cerita semuanya dah siap. Kami menyenaraikan empat pelakon remaja selaku teraju utama iaitu Aqish, Mia, Afieq Shazwan dan Alif Ali.
“Tajuk telefilem super ini ialah Ais Krim Cinta. Sekarang ini proses ‘melamar’ barisan pelakon sedang dilakukan dan harap sangat segalanya lancar,” pinta Ayu yang juga ibu kepada penyanyi, Fian Ali dan pelakon, Wanna Ali. – BOOM!