Rentetan luahan Atu Zero berkenaan rasa kesalnya apabila terpaksa menagih bayaran daripada stesen televisyen Awesome TV, pengurus pelawak tersebut tampil bersuara.
Pengurus Atu, Shafeeqa Johari yang juga isteri kepada pelawak tersebut, menerusi hantaran di Instagram Story mendedahkan mereka dituduh telah memalukan stesen berkenaan gara-gara luahan yang dibuat baru-baru ini.
Lebih mengecewakan apabila diibaratkan seperti anjing makan tuan oleh pihak stesen berkenaan.
“Beginilah nasib, minta payment sendiri dia ibaratkan kita ANJING makan tuan pulak.
“Sabarlah ya encik suami, kita memang tak kaya duit, tiada keluarga yang kaya-raya tetapi kita ada Allah,” katanya merujuk kepada tangkap layar daripada aplikasi Whatsapp dipercayai daripada orang kanan Awesome TV.
Menerusi tangkap layar tersebut, dipaparkan ucapan ‘terima kasih’ daripada orang kanan terbabit kepada Atu kerana telah memalukan nama baik stesen.
Mereka juga telah meminta Atu untuk datang mengambil cek di pejabat dan bertemu dengan
Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.
“Terus nak bagi cek, ada pula duitnya nak bayar,” tempelak Shafeeqa pada hantaran sama.
Dalam masa sama, Shafeeqa ketika dihubungi BOOM! menegaskan mereka tidak akan bertemu dengan pihak Awesome TV selagi baki bayaran tidak dilunaskan.
“Untuk apa? Sebelum ini pun sudah pernah berjumpa dan berbincang tentang perkara sama, tetapi tiada bayaran dibuat.
“Ada pun hanya sekali. Selebihnya saya rasa tidak perlu disebutkan di sini kerana mereka pun tahu mereka culas.
“Rancangan tersebut sudah habis dari bulan November lagi, bukan Atu seorang sahaja yang terkena tapi ramai lagi artis jadi mangsa.
“Itu belum lagi penggambaran sitkom, artis yang jadi tetamu. Kru pun belum dapat gaji mereka,” katanya.
Tambah Shafeeqa lagi, pihak berkenaan berjanji untuk melunaskan bayaran tersebut pada Februari lalu namun sehingga penghujung Mac masih belum ada khabar berita.
Terdahulu, Atu meluahkan rasa kesal apabila terpaksa menagih bayaran daripada stesen televisyen Awesome TV yang masih belum dilunaskan meskipun program Awesome Raja Lawak yang disertainya sudah selesai November tahun lalu.
Atu atau Sharif Kunal Doli Sharif, 31, berkata, apa lebih malang, dia menggunakan wang sendiri sepanjang menjalani penggambaran namun apabila bayaran dituntut dia hanya diberi janji kosong.
Atu berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya pada petang Sabtu lalu.
Sebelum mengakhiri perbualan, Shafeeqa berharap agar baki bayaran dapat dilunaskan dengan segera dan isu ini dapat diselesaikan secara baik.
“Kami bekerja secara profesional dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Tidak ada niat hendak mencari fasal, tetapi kami cari makan.
“Kami ada keluarga, anak-anak yang perlu disuap makan, sebab itulah kami bekerja…nak cari makan!” tegasnya. – BOOM!