Syarikat produksi tempatan D Alpha Legacy berbangga apabila filem mereka berjudul Korsakoff menang kategori khas ‘Best Psychological Film’ pada Anugerah Cannes World Film Festival (CWFF) dan terbaharu, anugerah di World Film Carnival – Singapore (WFCS) ke-33.
Menurut Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor selaku Pengasas D Alpha Legacy, kejayaan ini merupakan kerja keras keseluruhan pasukan produksi dan pelakon-pelakon hebat tempatan yang dianggap berbaloi selepas karya Malaysia diiktiraf di mata dunia oleh para penilai antarabangsa.
“Kami sekadar mencuba nasib dengan dengan menghantar penyertaan dan akhirnya dimaklumkan sebagai pemenang kategori ‘Best Psychological Film’. Banyak juga negara lain yang menghantar karya mereka tetapi nasib berpihak kepada kami, terima kasih diatas pengiktirafan ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jelasnya, walaupun filem ini sudah pun dipertontonkan di hadapan juri-juri profesional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia masih berpeluang menontonnya menerusi Astro First bermula 14 Mac ini.
Filem ini dibintangi barisan pelakon berpengalaman seperti Erra Fazira, Azhan Rani, Iqram Dinzly dan Ning Baizura manakala watak utamanya menampilkan bakat baharu, Elly Arifin.
Aminahtul berkata walaupun Elly adalah aktres baharu dan kali pertama memegang watak heroin, dia disokong oleh pelakon-pelakon senior lain dan kerjasama antara mereka membuatkan filem ini berjaya.
“Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam menghidupkan watak filem ini. Sebagai contoh, Erra adalah seniwati negara yang tidak perlu dipertikaikan lagi bakatnya manakala Azhan merupakan seorang pelakon ‘method’ yang disegani.
“Iqram pula, ramai yang merindui lakonan bermutunya manakala Ning mempunyai ‘presence’ yang kuat di layar kamera. Bagi Elly sendiri, seorang pelakon yang berpotensi dan mampu untuk pergi jauh,” katanya.
Ujarnya, idea asal filem ini tercetus daripada perbualan antara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang gemarkan cerita-cerita berunsurkan psikologi dan pada masa yang sama, ingin berkongsi informasi tentang kondisi penyakit Korsakoff.
“Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini, maka terhasillah sinopsisnya sebelum ia berkembang menjadi sebuah naskhah yang diterbitkan.
“Naskhah ini diilhamkan daripada kisah-kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kaitnya dengan penyakit Korsakoff itu sendiri yang kemudiannya dijadikan sebuah cerita imaginasi bersama,” katanya.
Tambahnya, proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa lebih 4 bulan.
“D Alpha Legacy juga berkolaborasi dengan aplikasi media sosial yang popular iaitu TikTok Malaysia dalam usaha menyokong karya-karya filem tempatan yang bermutu.
“Walaupun penyakit Korsakoff itu sendiri jarang didengari, ianya wujud dalam kalangan kita. D Alpha Legacy mahu masyarakat Malaysia faham apakah ia secara am melalui medium yang cukup menghiburkan.
“Naskhah ini jauh daripada sempurna dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki. Namun, kami berharap ia dapat memberikan satu ilmu baharu melalui keseronokan menonton bersama keluarga pada Ramadan nanti,” katanya.
Bagi penonton yang ingin menyaksikan filem ini, boleh melanggan di saluran 480 atau penstriman di Astro Go atau On Demand pada harga RM15 tidak termasuk cukai dan penonton berpeluang menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.- BOOM!