Penyanyi Marsha Milan Londoh terus akif dalam bidang nyanyian apabila kini muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Dulu, Kini dan Akhirnya’. Lagu yang dianggap penuh emosi ini turut menjadi runut lagu bagi drama Samarinda ‘Lelaki Itu’ yang akan disiarkan di TV3 sepanjang Ramadan ini.
Lagu ‘Dulu, Kini dan Akhirnya’ merupakan hasil ciptaan bersama penulis lirik Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K. Walaupun ia pertama kali menyaksikan Marsha bekerjasama dengan Hanis Rafi, ia bukan penghalang buat Marsha yang hanya mengambil masa 2 jam ketika rakaman di dalam studio.
Bagi Marsha, sewaktu lagu ini pertama kali dimainkan kepadanya, dia terus berminat untuk menyanyikan lagu ini kerana olahan melodi dan liriknya yang unik dan menusuk kalbu.
“Apabila saya baca lirik yang diberi dan dengar melodi lagu ini, saya terus jatuh cinta. Lirik lagu ini bagi saya sangat unik dan membawa makna yang sangat mendalam.
“Mencabar juga menyanyikan lagu ini kerana apabila saya bawakan lagu ini, emosi menyelubungi diri dan membuatkan saya perlu melawan emosi ini dan membawakan lagu ‘Dulu, Kini dan Akhirnya’ dengan baik.
“Saya lebih teruja apabila mendapat tahu lagu ini dijadikan lagu runut bagi drama Samarinda ‘Lelaki Itu’ yang dibintangi oleh pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda, Nadia Brian, Hannah Delisha dan Sophia Al-Barakbah,” katanya.
Omar K pula berpandangan lagu ini mengisahkan tentang semangat seseorang dalam meneruskan kehidupan walaupun telah dilukai berkali-kali oleh orang tersayang dan dilihat amat sesuai untuk dijadikan lagu runut untuk drama ‘Lelaki Itu’.
“Marsha memang seorang penyanyi yang bijak untuk kawal emosi dan menjiwai lagu. Tambahan dengan lontaran suara yang jelas dan juga vokal yang mantap, saya pasti lagu ini akan menjadi hit dalam kalangan pendengar,” katanya dalam satu kenyataan media.
‘Dulu, Kini dan Akhirnya’ telah mula berkumandang di pelbagai platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer sejak dan boleh dilayari di pelbagai platform muzik bermula 6 Mac lalu. – BOOM!