Tahap kesihatan aktres drama Cina Buta iaitu Nad Zainal yang sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman di paru-paru sejak kelmarin dilaporkan kian merosot.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pasangan heronya, Ungku Ismail Aziz menerusi akaun Instagram miliknya sebentar tadi.
“Nad sedang kritikal, sekarang berada dalam ICU (Unit Rawatan Rapi). Mohon doakan agar dia sembuh seperti sedia kala.
“Keadaannya sangat lemah disebabkan kekurangan oksigen dalam darah,” tulis Ismail.
Sementara itu, aktor tinggi lampai itu menambah, doktor terpaksa membiarkan Nad berehat supaya paru-paru dan pernafasannya lebih stabil.
“Doktor sengaja letakkannya dalam keadaan tidur supaya fungsi tubuh dan organ dalamannya kembali stabil seperti sedia kala,” jelasnya yang juga rakan kongsi pelakon wanita berkenaan menjalankan produksi mereka sendiri.
Terdahulu menurut Ismail, pakar telah memberikan Nad antibiotik, tetapi berlaku pula pendarahan di sekitar paru-parunya.
Disebabkan kondisi dialaminya itu, ibu tunggal kepada dua cahaya mata tersebut harus menjalani beberapa rawatan susulan.
Dalam pada itu, pengarah siri berkenaan iaitu Shahrulezad Mohameddin menjelaskan, siaran Cina Buta terpaksa ditangguhkan buat kali kedua atas sebab-sebab yang sukar dielakkan. – BOOM!