Pengacara sensasi Azwan Ali menolak dakwaan kononnya hanya berlakon semata-mata apabila dikejarkan ke unit rawatan rapi(ICU) di sebuah hospital swasta baru-baru ini.
Menurut Azwan atau Mohamed Azwan Ali, 56, dia sememangnya dimasukkan ke hospital berikutan mengalami keracunan makanan yang kronik sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU.
Berkongsi lebih lanjut, kata Azwan, dia diminta untuk berada di pusat perubatan tersebut untuk beberapa hari, namun meminta kebenaran doktor untuk keluar lebih awal.
“Malam sebelum kejadian, saya makan burger yang dibeli di tepi jalan memandangkan lorong pandu lalu di McDonald’s tengah sesak.
“Tanpa periksa terlebih dahulu keadaan burger yang dibeli, saya terus melahap dek kerana lapar.
“Itu puncanya perut saya sakit. Tahun lepas dah pernah alami insiden sama tetapi tetap tak serik-serik,” terangnya menepis dakwaan warganet yang menuduhnya berpura-pura untuk menarik perhatian umum.
Tambahnya yang bakal mengacarakan program Mic On terbitan Awesome TV bersama Issey Fazlisham, walaupun sedang menjalani rawatan, di terpaksa juga bergegas ke Johor Bahru, Johor atas komitmen kerja.
“Doktor cakap tak boleh tetapi saya berdegil kerana soal kerjaya adalah punca pendapatan saya.
“Sebab itu sekejap saja saya berada di hospital. Masuk 5.30 pagi, pukul 7.50 saya dah keluar selepas selesai menerima drip air yang dimasukkan ke dalam badan,” ceritanya menjelaskan keadaan sebenar. – BOOM!