Oktober lalu, Misha Omar pernah memaklumkan dia telah menjalani rawatan kesuburan iaitu Persenyawaan In Vitro (IVF) di sebuah pusat perubatan untuk menimang cahaya mata kedua.
Namun di sebalik kenyataannya itu, Misha atau Samihah @ Aisah Omar, 40, ada segelintir wanita yang teringin menjadi ibu telah berkecil hati.
“Rawatan kesuburan memang saya dah teruskan dan sekiranya hamil, saya akan kongsikan kepada umum.
“Dulu saya pernah kongsi secara terang-terangan, tetapi ada juga wanita yang tengah berdepan kesusahan mendapatkan anak terasa hati.
“Apapun saya minta maaf jika menggores hati sesiapa dan berharap orang ramai mendoakan agar hasratnya untuk hamil sekali lagi dimakbulkan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menyedari topik perbualan mengenai pencarian zuriat agak sensitif untuk diutarakan, Misha menegaskan bahawa perkongsiannya sebelum ini cuma untuk mewujudkan kesedaran.
“Mungkin apa yang saya kongsikan sebelum ini melukakan hati mana-mana wanita yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan anak. Saya minta maaf, cuma saya nak ingatkan, artis atau bukan, kita semua berkongsi kesusahan sama,” katanya.
Pada masa sama, Misha juga tidak mahu berlebih-lebihan bercerita tentang kehamilan serta menjadikan pengalaman Neelofa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai inspirasi buat dirinya.
Misha berkahwin dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa, 6, di samping seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 16 tahun.- BOOM!