Vokalis kumpulan Candy, Patricia atau Pat yang terselamat daripada penyingkiran minggu lalu akhirnya akur perjuangannya di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9) berakhir di minggu kelima.
Sekadar mengumpul markah 58.4, Pat tampil mempersembahkan lagu Babak Pertama berduet dengan pasangan penyanyi undangan, Aepul Roza yang juga vokalis Drama Band.
Pada minggu lalu, Pat atau Nurul Nadhira Patricia Robert, 48, juga menghuni tangga tercorot, namun dia bernasib baik kerana tiada penyingkiran dibuat.
Menurut Datuk Ramli MS selaku juri profesional, persembahan duet berkenaan kurang bertenaga, selain Aepul dilihat lebih menyerlah berbanding Pat.
“Mungkin Pat akan lebih baik jika dia pilih penyanyi wanita sebagai pasangan duet, bukannya lelaki.
“Aepul lebih dominan dan bertenaga dalam persembahan ini terutamanya ketika lagu masuk key rendah,” ulasnya.
Dalam persaingan yang berlangsung malam tadi, Jaclyn Victor kembali menerajui takhta apabila mengumpul markah terbanyak iaitu 92.4, diikuti Shila Amzah dan Fuad Rahman. – BOOM!