Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir melelong barangan peribadi miliknya demi untuk mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan Palestin dan sebagai tanda menzahirkan solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin.
Untuk tujuan tersebut, Faizal bakal menganjurkan acara amal Faith4Palestine pada Ahad ini melalui gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music.
Acara tersebut dijadualkan berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara, pada Ahad ini bermula antara jam 2 hingga 4 petang.
“Ini bukan acara hiburan semata-mata. Kami adakan sesi perbincangan terbuka (podcast) bersama Cinta Gaza Malaysia dan bidaan barangan peribadi saya.
“Faith4Palestine adalah satu usaha membantu keluarga yang sekarang sangat memerlukan bantuan dan perhatian. Semoga yang hadir dapat sesuatu berfaedah selepas pulang ke rumah.
“Muzik adalah satu elemen penting dalam menyampaikan mesej. Saya sentiasa pastikan setiap lagu yang dibawa membawa maksud positif dan dapat memberi sesuatu kepada komuniti,” katanya.
Tambah Faizal lagi, objektif utama Faith4Palestine untuk mendidik masyarakat mengenai sejarah panjang bumi Palestin dan beri bimbingan mengenai bagaimana boleh membantu dalam tindakan secara kolektif.
“Acara ini juga bertujuan menerangkan cabaran berterusan dihadapi oleh rakyat Palestin dan memberi pencerahan langkah positif dalam membantu mereka.
“Kami menggalakkan masyarakat awam, perniagaan, persatuan dan badan kerajaan mengambil bahagian bersama Faith4Palestine.
Acara amal ini akan menampilkan persembahan akustik oleh Faizal dan artis jemputan, sesi rakaman podcast dan lelongan amal barangan peribadi.
Tiket dijual pada harga RM99 dengan keuntungan daripada kutipan akan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Royale Chulan Damansara dan Media Prima Audio iaitu Hot FM, Kool 101 dan Molek FM atas sokongan menjadikan Faith4Palestine suatu kenyataan,” katanya. – BOOM!