Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios yang juga bekas trio KRU, Datuk Norman Abdul Halim memaklumkan kumpulan yang dianggotai bersama dua adiknya Yusry dan Edry tidak akan kembali mewarnai industri seni tanah air.
Norman berkata, ketika mengumumkan KRU dibubarkan lima tahun lalu, mereka sudah nekad untuk bersara sebagai penyanyi dan memberi fokus kepada kerjaya masing-masing.
Katanya, tidak apa yang perlu dikesalkan kerana setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.
“Setiap perkara pasti akan ada penghujungnya. Kami mempunyai perjalanan karier nyanyian menakjubkan sepanjang 25 tahun dalam industri muzik tanah air.
“Keputusan KRU untuk bersara sebagai penyanyi kerana masing-masing mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun kata Norman, jika persembahan kameo secara solo setiap mereka, mungkin boleh difikirkan, namun untuk KRU kembali membuat ‘comeback’, itu tidak mungkin berlaku.
“Contoh macam Edry, dia bersama kumpulan Mojo. Kami tidak akan halang. Itu kerja dia, projek dia.
“Namun untuk buat ‘comeback’ bertiga, agak susah sebab masing-masing dah ada komitmen masing-masing kan…Buat masa ini tiada perancangan lagi.
“Saya tahu banyak permintaan untuk kami tampil semula. Dan kami sentiasa menghargai sokongan tidak henti-henti daripada peminat dan penyokong kami,” katanya.
Tambah Norman, dia sendiri tidak menyangka lagu-lagu KRU masih menjadi trending dan dinyanyikan generasi baharu.
“Lagu-lagu KRU masih trending, itu menandakan orang masih nak dengar lagu-lagu kami dan saya rasa itu satu penghargaan besar yang diberikan oleh penyokong,” katanya.
Menurutnya peminat TikTok juga mungkin tidak mengenali KRU tetapi memuatkan semula lagu-lagu mereka.
“Saya bersyukur kerana masih lagi dilihat relevan di mata mereka. Saya pun tak sangka. Saya berterima kasih kepada teknologi seperti TikTok dan YouTube kerana kalau tidak kami memang dah terkubur macam itu sahaja lepas dibubarkan.
“Saya rasa dengan adanya platform ini, bukan saja lagu KRU tapi lagu Elite dan Forteen, lagu-lagu yang kami buat tiba-tiba naik semula. Saya rasa ini satu perkembangan yang baik untuk penggiat industri seni dan meremajakan kami dari segi ‘fanbase’.
“Kalau tidak ‘fanbase’ kita makin lama makin menjalani proses penuaan, sama macam kita yang menjalani proses penuaan, kelab peminat pun menjalani proses penuaan. Tapi kami ada peminat baru dan saya rasa ia sesuatu yang positif,” katanya.
Norman ditemui pada sesi tayangan ekslusif filem terbaharu terbitan KRU Studios berjudul Geng Sakau VS Hantu Ting Tong di Dadi Cinema Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Terdahulu, Norman mengumumkan pembubaran trio terkenal tanah air era 1990-an itu pada satu sidang media 18 April 2018.
Dalam perkembangan lain, filem Geng Sakau vs Hantu Ting Tong dalam genre komedi seram diterbitkan oleh Astro Shaw & KRU Studios akan disiarkan menerusi Astro First bermula 5 Oktober depan.
Filem arahan Waan Hafiz ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Bell Ngasri, Shashic Lewan, James Arokisamy, Nabila Razali, Aziz M. Osman, Chew Kin Wah dan Chelsea Ng. – BOOM!