Penganjuran acara Kids Fest 2024 berjaya meraih sambutan menggalakkan daripada ramai pengunjung.
Meskipun acara ini hanya berlangsung selama 2 hari bermula 27 dan 28 Januari lalu, pengujung khususnya ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak untuk berhibur dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.
Acara julung kali ini dianjurkan KRU Arena bersama Universal Music Malaysia dengan sokogan Astro Radio yang diadakan di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang.
Apa yang menarik perhatian pengunjung, acara Kids Fest 2024 ini merupakan siri festival yang dianjurkan secara tahunan menampilkan persembahan maskot watak animasi popular seperti Didi & Friends dan Omar & Hana serta maskot watak animasi baru seperti Zan Orangutan, KiKaKo Kids and Anna & Hanna selain menyediakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak sepanjang tempoh 2 hari tersebut.
Pengarah Festival KF2024, Datuk Norman Abdul Halim berkata, penganjuran Kids Fest 2024 bukan sahaja untuk hiburan semata-mata tetapi juga bertujuan menimbulkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar dan rasa sayang terhadap haiwan.
“Pihak kami berharap dengan kejayaan penganjuran Kids Fest 2024 di Putrajaya akan membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak bagi penganjuran Kids Fest di serata tanah air mulai Mei 2024,” katanya.
Bagi Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, Kids Fest 2024 merupakan acara yang amat menarik dan strategik dengan penglibatan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan sekolah khususnya di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah sekitar Lembah Klang.
“Selain persembahan pentas, Kids Fest 2024 turut menganjurkan Pertandingan Seni Kreatif untuk mencungkil bakat-bakat cilik di peringkat akar umbi,” katanya.
Selain daripada persembahan dan penampilan maskot watak-watak animasi, terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti permainan ‘inflatables’, ‘petting zoo’, ‘face painting’, persembahan badut dan ahli silap mata.
Apa yang lebih istimewa, masuk dan parkir kenderaan adalah percuma. Jualan cenderahati, makanan dan minuman serta aktiviti-aktiviti yang disediakan pula dicaj pada harga serendah RM3 secara opsyenal. – BOOM!