Baru-baru ini penulis menelusuri akaun Instagram sambil bersantai nikmati cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina.
Tiba-tiba terperasan satu hantaran Abang Long KRU, Datuk Norman yang berkongsi mengenai band yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu iaitu Mojo.
Macam kena pula dengan mood AJL-37 yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Mesti ramai masih ingat persembahan hebat kumpulan Mojo menampilkan Azmi Saat dan Caliph Busker menerusi lagu Romancinta pada pentas AJL-29 kan?
Dan sebelum itu Mojo menerusi debut Andai Ku Bercinta Lagi membuat kejutan terlebih dahulu tersenarai sebagai finalis AJL-27.
Akan tetapi, apa motif Abang Long kebelakangan ni asyik muat naik foto dan video mengenai Mojo? Tiba-tiba rindu ke temanya?
Mungkin itu cara Abang Long menzahirkan rasa rindu kepada si adik, Edry? Manalah tahu, malu-malu kucing nak berterus-terang?
Atau betul ke Mojo akan kembali muncul mengubati kerinduan peminatnya? Ye lah kan, baru-baru ni bekas vokalisnya, Aweera pun dah buat come back, jadi adakah dia kembali ke Mojo?
Atau Mojo akan terus menagih khidmat Azmi Saat? Kalau tanya Cik Lesung, kedua-duanya ‘onz’ bak kata muda-mudi zaman sekarang.
Dan kalau dulu Edry sendiri yang mengepalai kumpulan yang diasaskannya itu, adakah kali ini dia akan kembali memeriahkan industri muzik selepas lama menyepi?
Wah, banyak betul tanda tanya yang dicetuskan Abang Long kita ni, pening penulis memikirkan jawapannya.
Fuh, imbau kembali memang dahsyat persembahan Mojo melalui Romancinta lebih-lebih lagi penampilan Azmi yang sangat jujur.
Ingat lagi, memang meremang bulu roma penulis. Tidak hairanlah pasukan Romancinta menang trofi kategori Persembahan Terbaik.
Nanti penulis nak korek-korek dengan Norman atau Edry. Apa-apa penulis share okey! – BOOM!